Thursday, June 2, 2011

~ TAUBAT PENCURI KAIN KAPAN ~


Diceritakan bahawa Abdurrahman bin Ghannam Al-Daws mengatakan bahawa Muaz bin Jabal pernah menemui Rasulullah SAW dalam keadaan menangis teresak-esak. Dia mengucapkan salam kepada Rasulullah dan Rasulullah menjawab. Baginda kemudiannya bertanya : “ Apakah yang membuat kamu menangis wahai Muaz?” Muaz menjawab : “ Ya Rasulullah, di depan pintu ada seorang pemuda yang bersih badannya, putih wajahnya, tampan orangnya, sedang menangis seperti menangis anak kecil yang kehilangan ibunya. Dia ingin menemuimu ya Rasulullah.”

Rasulullah berkata : “ Suruhlah pemuda itu masuk wahai Muaz.” Muaz pun membawa pemuda itu masuk menjumpai Rasulullah dan mengucapkan salam kepadanya. Rasulullah pun menjawab salam itu dan berkata : “ Apakah yang telah membuatkan kamu menangis wahai pemuda?” Pemuda itu menjawab : “ Bagaimanakah aku tidak menangis, sedang aku telah banyak membuat dosa. Kalau sahaja Allah membalas sebahagian daripada dosa itu, pasti aku dimasukkanNYA ke dalam api neraka. Aku dapat merasakan bahawa Allah akan membalas segala dosaku dan tidak akan mengampuniku selamanya.”

Rasulullah SAW bertanya : “ Adakah engkau telah mempersekutukan Allah?”
Pemuda itu menjawab : “ Aku berlindung kepada Allah, aku tidak pernah mempersekutukanNYA dengan sesuatu apapun.”

Rasulullah bertanya lagi : “ Adakah engkau telah membunuh seseorang yang diharamkan Allah untuk membunuhnya?”
Pemuda itu menjawab : “ Tidak.”

Rasulullah berkata : “ Allah mengampuni dosa-dosamu walaupun dosamu itu sebesar gunung yang menjulang ke langit.”

Pemuda itu berkata : “ Ya Rasulullah, dosaku lebih besar dari gunung itu.”

Rasulullah berkata : “ Allah akan mengampuni dosa-dosamu walaupun dosamu itu sebesar tujuh bumi serta lautan, pasir , pohon dan segala yang ada padanya.”

Pemuda itu berkata : “ Ya Rasulullah, sesungguhnya dosaku lebih besar daripada itu.”

Rasulullah berkata : “ Allah akan tetap mengampuni dosa-dosamu walaupun dosamu itu sebesar langit, bintang dan KursiNYA.” Pemuda itu berkata : “ Ya Rasulullah, sesungguhnya dosaku lebih besar daripada itu.”

Mendengar ungkapan daripada pemuda itu, maka muka Rasulullah menjadi merah kerana marah dan kemudiannya baginda berkata: “ Celakalah engkau wahai pemuda, apakah dosa-dosamu yang lebih besar itu?”
Maka tersungkurlah pemuda itu sambil berkata : “ Subhanallah, Tuhanku. Tidak ada sesuatupun yang lebih besar daripada Engkau.”

Rasulullah berkata : “ Wahai pemuda yang celaka, beritahulah kepadaku salah satu dosa yang telah engkau lakukan.”

Maka pemuda itu pun menceritakan tentang dosa yang telah dilakukannya : “ Dahulu, selama tujuh tahun, pekerjaanku adalah menggali kubur dan mengeluarkan mayatnya. Kemudian,aku ambil kain kafannya. Pada suatu hari, ada seorang anak gadis daripada golongan Ansar meninggal dunia. Setelah ia dimasukkan ke dalam kubur, pada malam harinya aku mendatangi kubur itu. Aku menggali dan mengambil kain kafannya. Kemudian, aku tinggalkannya dalam keadaan telanjang di tepi kuburnya, lalu aku pulang ke rumah.

Setelah aku sampai ke rumahku, pada waktu itu datang syaitan yang merayuku supaya aku menggauli mayat anak gadis itu dan akhirnya aku kembali kepadanya. Aku tidak dapat menahan nafsuku sampai aku bersetubuh dengannya. Setelah selesai hajatku, aku meninggalkannya di tepi kubur itu. Ketika aku ingin berangkat pulang ke rumahku, tiba-tiba aku mendengar satu suara : “ Wahai pemuda, celakalah engkau di hadapan hisab pada hari kiamat, sebagaimana engkau telah berbuat buruk kepada diriku. Engkau meninggalkan aku dalam keadaan telanjang di tengah-tengah orang yang mati. Engkau keluarkan aku dari dalam kuburku. Engkau lepaskan kain kafanku dan engkau meninggalkan aku dalam keadaan junub sampai hari hisab nanti. Celakalah engkau wahai pemuda. Tempatmu adalah di neraka.
Setelah itu, aku tidak pernah mengira untuk mencium bau syurga untuk selama-lamanya. Lalu, bagaimanakah pendapatmu wahai Rasulullah?”

Maka, dengan perasaan marah Rasulullah berkata : “ Pergilah engkau dari sisiku wahai orang fasik. Aku takut akan terbakar bersama api yang membakarmu. Alangkah dekatnya dirimu dengan api neraka.”

Setelah mendengar kata-kata daripada Rasulullah, maka pemuda itu pun meninggalkan baginda. Kemudian, dia mengambil bekalan dan mengarahkan perjalanannya menuju ke gunung. Pemuda itu beribadah dan tinggal di sana. Dia selalu menggantungkan tangannya pada lehernya. Dia menangis sambil berdoa, merendahkan diri di hadapan Allah. Dia berkeadaan demikian sehingga empat puluh hari lamanya.

Setelah itu, dia menadah tangannya ke langit sambil berkata : “ Ya Allah, tidakkah Engkau dapat melakukan sesuatu untuk memenuhi hajatku? Jika Engkau mengabulkan doaku, maka ampunilah segala kesalahanku dan berilah wahyu kepada RasulMU. Jika Engkau tidak mengabulkan doaku dan tidak mengampunkan dosaku, dan Engkau ingin memberi hukuman kepadaku, maka segerakanlah hukuman itu. Bakarlah diriku sekarang ini dengan api atau berikanlah aku seksaan yang menghancurkan diriku di dunia ini. Akan tetapi, selamatkanlah aku dari sengsara di akhirat nanti.”

Lalu, Allah menurunkan wahyuNYA kepada Rasulullah SAW yang maksudnya :

“ Orang-orang yang telah mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Maka, siapa lagi yang dapat mengampuni mereka selain daripada Allah? Selepas itu, mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu, sedangkan mereka mengetahui. Mereka itu mendapat keampunan daripada Allah dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” ( Al-Imran:135-136)

Ketika ayat ini diturunkan kepada Rasulullah, baginda lalu keluar dan membacanya sambil tersenyum. Baginda seterusnya meminta para sahabat menunjukkan tempat pemuda itu bertaubat. Bersama para sahabat, baginda pergi ke tempat itu. Tiba-tiba, mereka melihat pemuda itu sedang berdiri di atas batu sambil meletakkan kedua belah tangannya pada lehernya. Wajahnya kelihatan hitam, bulu matanya gugur disebabkan terlalu banyak menangis. Rasulullah mendekati pemuda itu. Baginda melepaskan tangannya dari lehernya dan membersihkan debu-debu yang menempel di kepalanya lantas bersabda, “ Aku ingin memberikan khabar gembira buatmu. Sesungguhnya engkau telah dibebaskan oleh Allah daripada azab api neraka.”

Sesungguhnya, Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Jika kita berbuat salah dengan manusia, belum tentu manusia itu masih sudi untuk memaafkan kesilapan kita. Akan tetapi, yakinlah bahawa Allah sekali-kali tidak akan menghampakan kita bilamana kita memohon keampunan kepadaNYa.

Sebagai manusia biasa yang terkenal dengan sifat pelupanya, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Tidak kira sama ada ia adalah satu hal yang besar atau sebaliknya. Jadi, perlulah bagi kita untuk sentiasa bertaubat kepada Allah dan selalu memperbaharui iman kita. Bersangka baiklah dengan Allah dan pohonlah keampunan hanya padaNYa. Moga cerita yang dilampirkan dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.

No comments: