Wednesday, April 27, 2011

IBLIS MENCEMBURUI ADAM


Nabi Adam diciptakan Allah di dalam syurga. Di situ Nabi Adam tinggal bersama pasangannya, Hawa. Iblis yang memang membangkang akan kehadiran Adam di syurga menyimpan dendam kesumat yang tidak sudah sudah untuk menghancurkan kehidupan Nabi Adam.

Dia tidak reda mengganggu sehinggalah Adam tersingkir dari Syurga. Iblis menunggu-nunggu peluang untuk merosak dan menyesatkan Nabi Adam dan Hawa. Peluang yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Iblis tahu bahawa dia sukar untuk mempengaruhi Nabi Adam. Oleh itu jalan terbaik ialah dengan mempengaruhi Hawa supaya mengikut pujukannya. Jika perangkap ini berhasil, iblis percaya Hawa akan pula mempengaruhi Adam dan akhirnya Adam akan terperangkap.

Setelah memasang strategi, Iblis tanpa berlengah lagi memulakan perancangannya. Sambil duduk berhampiran pokok khuldi, Iblis pura-pura menangis teresak-esak. Hawa tidak sedar tipu muslihat iblis. Melihat keadaan yang terharu itu, Hawa menjadi kesihan lalu menghampiri Iblis sambil bertanyakan gerangan apa yang ditangisinya. Sang Iblis mula memasang perangkap dengan mengatakan dia menangis kerana bersimpati dengan Adam dan Hawa yang dilarang dari memakan buah khuldi. Katanya jika Adam dan Hawa memakan buah khuldi itu, mereka akan terus kekal di syurga. Tambahan pula rasa buah khuldi itu amat lazat.

Mendengar kata-kata 'nasihat' itu, Hawa menjadi ragu-ragu dan akhirnya percaya apa yang didengarnya. Apabila berjumpa Nabi Adam, Hawa dengan gaya memujuk mula merayu agar memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah. Walaupun pada mulanya Nabi Adam takut untuk melanggar larangan Allah, namun setelah berkali-kali dipujuk dengan kata-kata yang lunak, akhirnya mengalah. Mereka berdua menghampiri pokok khuldi dan Hawa terus memetik buah itu lantas memakannya. Perbuatannya diikuti oleh Nabi Adam.

Sebaik saja mereka memakan buah khuldi, pakaian syurganya mula tanggal. Allah mencela perbuatan mereka. Barulah ketika itu, Nabi Adam sedar akan ketelanjurannya melanggar perintah Allah. Mereka berdua menyesal dan bertaubat tidak akan melanggar lagi perintah Allah. Permohonan Nabi Adam diterima Allah namun harapannya untuk terus tinggal di syurga hancur. Allah memerintahkan mereka berdua turun dari syurga yang penuh dengan segala kenikmatan ke bumi yang penuh dengan kepayahan dan kesusahan.

Bermula dari detik inilah, maka wujudnya generasi Adam hinggalah ke hari ini. Kita adalah dari keturunan Nabi Adam. Kita dihidupkan di dunia buat sementara waktu untuk diuji siapa di antara kita yang baik amalannya. Sekiranya kita lulus ujian ini, kita akan dikembalikan semula ke syurga. Sebaliknya jika gagal mematuhi perintah Allah, kita akan dicampakkan ke dalam neraka yang penuh dengan azab.

No comments: