Wednesday, July 21, 2010

~ SUAMI PERLU SABAR MEMBIMBING ISTERI ~

SUAMI tidak boleh membenci isterinya atau sampai menceraikannya, hanya kerana satu tingkah laku isteri yang tidak menyenangkan. Sebaliknya, dia dituntut mengambil kira perilaku lain isterinya yang menyenangkan, sebelum membuat sebarang keputusan. Sabda Rasulullah saw, bermaksud: "Sesungguhnya, orang perempuan itu dicipta dari tulang rusuk. Dia tidak akan boleh lurus pada satu jalan. Jika kamu mencari kepuasan dengannya, nescaya kamu dapat kepuasan darinya, padahal dia tetap bengkok.

Dan jika kamu hendak meluruskannya, bererti kamu cuba mematahkan, sedangkan mematahkan (bererti) menceraikannya." (Hadis riwayat Muslim) Hadis itu menggambarkan tingkah laku perempuan atau isteri yang sejak lahir, memang dipengaruhi oleh sifat-sifatnya yang asal. Betapa rumit dan sukarnya mendidik wanita. Jika dididik dengan kasar, maka akan patah (gagal). Kalau dibiarkan, maka semakin parah tingkah lakunya. Oleh itu, dalam mengendalikan urusan dengan isteri, seorang suami harus sabar dan bijaksana, tahu masalah dan keadaannya.

Jangan terlalu berkasar atau berlembut dalam mendidik isteri. InsyaAllah, dia akan diberikan ganjaran kejayaan seorang isteri yang salih. Seorang isteri pula, di samping taat kepada Allah, perlu taat kepada suaminya. Jika kedua-dua tugas itu dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. Isteri itu akan dipersilakan masuk ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya.

Sabda Rasulullah, maksudnya: "Jika seorang perempuan sembahyang lima waktunya, menjaga kemaluannya, dan taat kepada suaminya, pasti dia masuk syurga dari pelbagai pintu yang dikehendakinya." (Hadis riwayat Ibnu Hibban) Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya bagi seorang perempuan (isteri)?" Baginda bersabda: "Suaminya." Aku bertanya lagi: "Siapakah yang lebih besar haknya bagi orang lelaki?" Baginda bersabda: "Ibunya." (Riwayat Bazaar dan Hakim).

Isteri mempunyai satu kewajipan besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didulukan. Berbeza dengan suami, dia mempunyai kewajipan amat besar terhadap ibunya. Sejauh mana kemampuannya, dia perlu memenuhi setiap keperluan ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya.

Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. "Dan setiap wanita yang bermuka masam di muka suaminya, justeru, dia ada dalam kemurkaan Allah sampai dia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan dia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, justeru, malaikat melaknatnya hingga dia pulang." (Hadis riwayat Al Bazzar).

No comments: